Sunday, 22 February 2015


 

SAINS DI SEBALIK CINTA

 
Pernahkah anda mengalami cinta? Melihat orang yang dicintai, jantung akan berdebar, darah tersirap mengalir deras, mata jadi bundar tak berkerlip. Di dalam benak, ada cinta sedang berbunga, mengorak kelopak menyebukan hati. Hebat sungguh penangan cinta tetapi, tahukah anda sains disebalik cinta?

Dikatakan, cinta membuatkan kita bagaikan hilang kawalan diri. Lidah rasa seperti kelu apabila berdepan dengan orang yang dicintai (atau setidak-tidaknya, orang yang kita menaruh hati), kaki rasa seperti longgar bagaikan mahu ranap. Kadang-kadang semua perbuatan menjadi kekok, gerak-geri seolah-olah mabuk. Kerana itu orang yang sedang dalam percintaan diistilahkan dengan perkataan semacam ditimpa bencana pula, lihat sahaja istilah “mabuk asmara” atau “gila angau” atau “jatuh cinta”. Selalu pula, disebut-sebut, bahawa cinta itu buta. Kerana dikaburi cinta, deria pun hingga jadi tumpul, jalan pun seperti tidak betul.

Pada tahun 1990, satu kajian di Itali mendapati bahawa mereka yang sedang mabuk cinta (lebih-lebih lagi ketika di pangkal percintaan) akan menunjukkan gejala Obsessive Compulsive Disorder- satu penyakit mental yang membuatkan mereka mahu mengawal segala-gala yang berada di sekelilingnya. Kadang-kadang, mereka rasa seperti tidak lengkap, rasa mahu sentiasa lawa, rasa mahu membersihkan diri setiap beberapa minit, memeriksa cermin, membasuh tangan berkali-kali. Orang yang mula bercinta, jiwanya dikatakan sentiasa tidak tenteram, seperti tidak siuman.

Salah satu gejala Obsessive Compulsive Disorder ialah kekurangan hormon neurotransmitter dipanggil serotonin di dalam tubuh. Apabila diselidik, mereka yang sedang mula bercinta didapati mempunyai aras serotonin 40% kurang berbanding dengan rakan mereka yang tidak jatuh cinta.

SEROTONIN
 
Di dalam ilmu sains psikologi, kekurangan serotonin akan membuatkan manusia berada dalam kedukaan; selalu dikaitkan dengan tekanan perasaan dan kecelaruan fikiran. Kerana itulah, pada waktu ini, kebanyakan ubat yang dipreskripsi untuk mengawal tekanan perasaan mengeksploit kadar serotonin dalam tubuh.

Namun, aras serotonin tubuh akan kembali ke takah asal lebih kurang setahun selepas percintaan bermula. Mungkin waktu itu cinta sudah menjadi biasa- dan fikiran pun sudah lali dengan kehadiran orang yang dicintai. Mungkin juga asmara sudah menjadi tawar dan minda mula jadi tidak setia, mula mencari pasangan yang lain. Perasaan gila di awal asmara, makin lama makin surut pula dimakan masa.

Kerana itu ada yang tidak kekal lama bersama-sama pasangan yang kononnya dicintai, gejolak asmara dan kacuhan gelumang hormon yang bergaul di dalam tubuh terasa tidak sama seperti mula-mula. Sememangnya benar, apabila bercerita tentang cinta, kita selalu dibelenggu biokimia di dalam tubuh sendiri. Menurut Helen Fisher, dari Universiti Rutgers, New Jersey, Amerika, terdapat tiga tangga dalam percintaan, setiapnya bergantung pada kimia dan hormone yang merembes dalam badan.

Anak tangga pertama dalam percintaan, dipanggil Fasa Berahi. Inilah aras pertama dalam biologi percintaan manusia : inilah yang menerbitkan perasaan di dalam tubuh, lantas membuatkan kita mahu bercinta. Tanpa tangga pertama ini, kita langsung tidak terkenan mahu bercinta (contohnya kanak-kanak sebelum umur akil baligh atau orang dewasa yang sudah terbiasa tanpa cinta). Menurut Helen Fisher, Fasa Berahi diaktifkan oleh dua hormon penting tubuh, iaitu testosterondan estrogen. Testosteron, menurutnya, bukan terhad kepada jantina lelaki sahaja, ia juga terdapat di dalam tubuh wanita. Hormon-hormon inilah yang membuatkan kita mencari cinta.

Takah berikutnya, pada anak tangga kedua Fasa Tarikan. Waktu ini kita berjumpa dengan orang yang mahu dicintai, lantas anak mata terangsang dan membesar, bagaikan wujud satu tarikan antara kita dengannya. Di dalam fasa ini, satu kumpulan neurotransmitter di dalam otak dipanggil “monoamines” memainkan peranan paling penting. Apabila bercinta, norepinephrine (juga dikenali adrenalin) membuatkan kita berpeluh, dan mempercepatkan detak jantung; dopamine membuatkan kita bagaikan mabuk ketagihan asmara (dopamine juga terdapat di dalam nikotin rokok dan dadah kokain); dan serotonin, seperti yang disebut dalam kajian di Itali.

Fasa keseliratan hormone inilah yang dipanggil angau dan mabuk cinta, otak sampai buntu tidak memikirkan yang lain, mandi hingga tidak basah, tidur hingga tidak lena, bagaikan setiap nafas dan setiap detik nyawa hanya untuk cinta sahaja.

Sains juga dapat menerangkan tarikan cinta ini. Dilaporkan, pupil mata menjadi terangsang apabila kita tertarik pada sesuatu, atau menjadi berahi, sama ketika kita mula-mula jatuh cinta. Mata sebenarnya menyimpan banyak rahsia; pada zaman dahulu, wanita Eropah membundarkan mata dengan celak yang dipanggil bella donna supaya nampak “terangsang” dan cantik (kini diketahui bahawa bella donna sebenarnya beracun), kononnya, dengan mata yang bulat, orang akan lebih mudah jatu cinta kepadanya.

Juga didapati, hanya dengan merenung ke dalam mata boleh menguatkan perasaan kaish dan ikatan cinta. Professor Arthur Arun, ahli psikologi dari New York, telah membuat uji kaji kepada sekumpulan penuntut yang tidak saling mengenali, mendapati bahawa apabila dua manusia saling merenung, walaupun mereka adalah orang asing, setelah satu tempoh, perasaan cinta atau ketenangan akan terbit juga. Kini, dua pasangan dalam uji kaji Profesor Arun sudah melangsungkan perkahwinan mereka.

Walaupun rupa memainkan peranan penting untuk kita jatuh cinta kepada seseorang, banyak kebarangkalian lain yang menentukan, ada yang kita tidak sedar pun. Salah satunya ialah bau seseorang. Sehingga kini, bau tubuh badan atau feremon yang dikeluarkan oleh tubuh adalah topik yang menarik untuk dibincangkan oleh para saintis.

Bagi kebanyakan haiwan, terdapat satu organ di dalam hidung mereka, melengkapkan deria hidu mereka, yang dipanggil organ vomeronasal. Organ inilah yang membantu haiwan (seperti tikus dan kucing)menghidu kencing dan bahan buangan haiwan lain bagi menentukan kesesuaian untuk dijadikan pasangan. Feromon di dalam kencing itulah yang menentukan keserasian mereka, mewujudkan ikatan sosial dan perhubungan seksual sesama haiwan. Pada tahun 1995, Claus Wedeken, dari Universiti Bern, Switzerland, membuat kajian kepada sekumpulan wanita, mengarah mereka menghidu pakaian lelaki yang berbeza (setiap lelaki menanggalkan pakaian itu tanpa dibasuh) dan meminta mereka melabelkan lelaki yang paling diminati. Didapati, setiap perempuan dapat menghidu perbezaan feromon pada pakaian – dan mereka memilih lelaki yang mempunyai sistem imunisasi yang berbeza dengan tubuh mereka. Kajian seterusnya, dilakukan oleh Dr. Martha McClintock dar Universiti Chicago, mendapati wanita menggemari lelaki yang berbau seperti bapa mereka, lalu merumuskan bahawa imunisasi tubuh mirip ayahnya bakal melengkapkan sistem pertahanan anak yang bakal lahir.

Fasa terakhir yang disebut oleh Helen Fisher dalam tangga percintaan ialah Fasa Ikatan. Ini adalah fasa pelengkap cinta, ikatan yang bakal dibuktikan dengan melangsungkan perkahwinan. Dalam takah ini, dua insan yang sedang bercinta mahu menjadikan keintiman mereka menjadi kekal.

Hormon yang paling utama menimbulkan perasaan mahu terikat ialah oksitosin, yang dirembeskan di dalam otak melalui kelenjar hipotalamus. Bahan kimia ini merangsang keakraban dan perasaan kasih sayang antara manusia. Selain hubungan percintaan, oksitosin juga hadir setelah seorang ibu selesai melahirkan melahirkan anaknya – ia mengeratkan ikatan antara ibu dan anak., dan juga merangsang payu dara agar mengeluarkan susu untuk bayi tersebut.

Keeratan dan perasaan akrab dalam percintaan juga dimangkinkan oleh hormon vasopressin, yang juga mengawal tugas ginjal di dalam tubuh. Saintis membuat kajian tentang hormon ini pada tikus prairie beberapa tahun lepas, lalu mendapati bahawa sepasang tikus yang disuntik dengan dadah bagi menghalang penghasilan vasopressin didapati tidak mahu bersama. Tikus betina tanpa vasopressin didapati berkeliaran mencari pasangan lain.

Begitulah kompleksnya cinta di sudut sains. Rasa asmara yang kita sangka sekadar membelenggu di permukaan fikiran sebenarnya mempunyai susuk yang lebih rumit menyelinap di dalam urat tubuh, melibatkan kimiawi dan taakulan psikologi seta perjalanan biologi. Sesungguhnya, Maha Agung kekuasaan Tuhan, menganyam aturan sains pada segala di dalam semesta-Nya sengan begitu terperinci, termasuklah cinta – xi96