Positron atau antielektron
ialah antizarah untuk elektron. Positron mempunyai cas elektrik +1e, pusingan sebanyak ½ dan jisim yang sama dengan elektron. Pemusnahhabisan akan berlaku apabila satu positron berlanggar dengan satu
elektron, lalu menghasilkan dua foton sinar
gama atau
lebih. (Lihat pemusnahhabisan elektron-positron)
Positron boleh dihasilkan dengan pereputan
radioaktif pancaran positron (melalui interaksi lemah) atau dengan penghasilan berpasangan daripada foton yang cukup bertenaga.
Sejarah
Sorot depan berbentuk teori dan ramalan
Pada 1928, Paul Dirac menerbitkan kertas kerja yang mencadangkan bahawa elektron boleh
memiliki cas positif dan negatif. Kertas kerja ini telah memperkenalkan persamaan Dirac, penyatuan mekanik kuantum, relativiti
khas, dan
konsep pusingan elektron (yang dahulunya konsep yang baru) untuk menjelaskan kesan Zeeman. Kertas kerja itu tidaklah menekankan kewujudan partikel
baru, tetapi membenarkan elektron untuk memiliki tenaga positif dan negatif
sebagai penyelesaian. Penyelesaian tenaga positif menjelaskan keputusan
eksperimen, tetapi Dirac sendiri bingung dengan penyelesaian tenaga negatif
yang sama benar yang dibenarkan model matematik tersebut. Mekanik kuantum tidak
membenarkan penyelesaian tenaga negatif untuk diendahkan sepertimana yang
dibenarkan oleh mekanik klasik, sebaliknya dua penyelesaian itu menyatakan
bahawa ada kemungkinan elektron beralih di antara keadaan tenaga positif dan
negatif. Namun, peralihan seperti ini tidak pernah diperhatikan melalui
eksperimen. Dirac merujuk kepada konflik antara teori dan pemerhatian ini
sebagai "kesulitan" yang belum "diselesaikan".
Dirac menulis satu kertas kerja sambungan
pada Disember 1929 yang telah mencuba untuk menjelaskan penyelesaian tenaga
negatif yang tidak dapat dielakkan untuk elektron relativistik. Dia mengatakan
"... satu elektron dengan tenaga negatif bergerak di dalam medan
[elektromagnet] luaran seolah-olah ia membawa cas positif". Dia juga
mengatakan bahawa keseluruhan ruang boleh dianggap sebagai satu "lautan" keadaan tenaga negatif yang telah diisi, sehingga ia menghalang
elektron daripada beralih daripada keadaan tenaga positif (cas negatif) dan
keadaan tenaga negatif (cas positif). Kertas kerja ini juga meneroka
kemungkinan proton menjadi sebuah "pulau" di dalam
laut ini, dan ia berkemungkinan satu elektron bertenaga negatif. Dirac mengakui
yang proton mempunyai jisim yang lebih banyak daripada elektron dan ini
mendatangkan masalah terhadap jangkaan beliau, tetapi beliau
"berharap" teori pada masa akan datang akan menyelesaikan isu ini.
Robert Oppenheimer telah menentang jangkaan Dirac yang
menyatakan penyelesaian tenaga negatif elektron untuk persamaan Dirac ialah
proton. Beliau menegaskan yang jika pernyataan ini benar, atom hidrogen pasti akan
musnah dengan sendiri dengan pantas. Terdesak oleh hujah Oppenheimer, Dirac
menerbitkan satu kertas kerja pada 1931 yang meramalkan kewujudan partikel yang
masih belum ditemui pada masa itu, "anti-elektron" yang mempunyai
jisim yang sama dengan elektron dan akan musnah habis apabila bertemu dengan
elektron.
Klu eksperimen dan penemuan
Dmitri Skobeltsyn telah memenui positron untuk kali pertama
pada tahun 1929. Apabila menggunakan kebuk awan Wilson untuk mencuba mengesan radiasi gamma di dalam sinar kosmik, Skobeltsyn mengesan partikel-partikel yang bertindak
seperti elektron tetapi melengkung ke arah bertentangan di dalam medan magnet
yang dikenakan.
Pada tahun yang sama, Chung-Yao Chao, seorang graduan Caltech mendapat beberapa hasil yang ganjil yang menunjukkan partikel
yang bertindak seperti elektron, tetapi mempunai cas positif. Namun, hasil ini
tidak membawa kesimpulan dan fenomena ini tidak dikaji dengan lebih mendalam.
Carl D. Anderson telah menemui positron pada 2 Ogos 1932,
dan melalui penemuan ini beliau telah menerima Anugerah Nobel untuk Fizik pada
1936. Anderson juga memperkenalkan istilah positron.
Positron merupakan bukti pertama kewujudan antijirim dan telah ditemui apabila beliau membenarkan sinar kosmik melalui
sebuah kebuk awan dan plat plumbum. Sebuah magnet mengelilingi radas ini, dan
ia menyebabkan partikel membengkok ke pelbagai arah berdasarkan cas elektrik
masing-masing. Jejak ion yang ditinggalkan oleh setiap positron muncul di atas
plat fotografik dengan lengkungan yang sepadan dengan nisbah jisim-ke-cas elektron, tetapi dalam arah yang
menyatakan casnya positif.
Anderson menulis yang positron boleh
ditemui lebih awal berdasarkan hasil kerja Chung-Yao Chao jika ia disambung.
Joliot-Curies di Paris mempunyai bukti positron dalam gambar-gambar lama
apabila hasil kerja Anderson diperoleh, tetapi mereka menganggapnya sebagai
proton dan mengendahkannya.
Penghasilan
Kajian baru telah meningkatkan jumlah
positron yang boleh dihasilkan oleh para penguji kaji secara dramatik. Ahli
fizik di Makmal Kebangsaan Lawrence Livermore di California menggunakan laser pendek dan amat kuat untuk menyahsinar sasaran
emas satu milimiter tebal dan berjaya menghasilkan lebih 100 bilion positron.
Penggunaan
Sesetengah jenis eksperimen pemecut
zarah
melibatkan pelanggaran positron dan elektron pada kelajuan relativistik. Tenaga
pelanggaran yang tinggi dan pemusnahhabisan mutlak jirim dan antijirim
menghasilkan sejumlah besar partikel subatom pelbagai jenis. Ahli fizik
mengkaji hasil pelanggaran ini untuk mengkaji ramalan teori dan mencari
partikel jenis baru.
Sinar gama yang dilepaskan secara tidak
langsung oleh radionuklid pemancar positron dikesan di dalam pengesan tomografi pancaran positron (PET) yang digunakan di hospital.
Pengesan PET hasilkan gambar 3-dimensi terperinci tentang aktiviti metabolik di
dalam badan manusia.
Peralatan dalam uji kaji yang dinamakan spektroskopi pemusnahhabisan positron (PAS) digunakan dalam kajian bahan-bahan
untuk mengesan kepelbagaian kepadatan, kecacatan, kesalahletakan dan
kelompongan di dalam satu objek pejal
No comments:
Post a Comment